Friday, October 15, 2010

"Amerika Perlu Mengetuk Pintu Teheran"

"Jika Washington mahukan penyelesaian di wilayah ia perlu ‘mengetuk pintu Teheran’,” kata akhbar harian berbahasa Arab, Al-Anwar.

BEIRUT: Lawatan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad ke Lubnan minggu ini memberi mesej jelas kepada Amerika Syarikat serta sekutunya, Israel, bahawa Teheran adalah kuasa utama di Asia Barat dan tidak boleh dipencilkan.

Ahmadinejad juga berunding dengan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah yang menghadiahkan mesingan Israel, senjata rampasan askar Yahudi.

Mereka berunding di kedutaan Iran di sini. Ahmadinejad juga melawat sempadan Lubnan dengan Israel dalam lawatan dua harinya ke sini sebagai melambangkan tidak mengaku kalah kepada negara Yahudi itu.

Dalam kenyataannya, Hizbullah berkata, Ahmadinejad dan Nasrallah membincangkan lawatan bersejarah pemimpin Iran itu.

Sebagai tanda terima kasih dan setia, Nasrallah memberi hadiah mesingan itu yang dirampas ketika Hizbullah menghadapi serangan askar Yahudi pada 2006.

“Amerika diberitahu bahawa jika ia memencilkan Iran, Teheran akan memasang perangkap di Lubnan. Mesejnya ialah jika Washington mahukan penyelesaian di wilayah ia perlu ‘mengetuk pintu Teheran’,” kata ruangan pojok akhbar harian berbahasa Arab, Al-Anwar.

Amerika dan sekutunya sebelum ini memutuskan untuk memencilkan Iran dalam usaha memaksa negara itu menghentikan program nuklearnya yang didakwa bertujuan menghasilkan senjata nuklear tetapi dinafikan Teheran.

Lawatan dua hari Ahmadinejad ke Lubnan, yang pertama sejak pilihan raya 2005, dilihat sebagai perangsang kepada sekutunya kumpulan pejuang Hizbullah, kumpulan Syiah paling berpengaruh yang berperang dengan Israel pada 2006.

“Bagi rakyat Iran, lawatan presiden dilihat dalam konteks pertemuan dua kuasa berpengaruh di wilayah itu,” kata akhbar Al-Akhbar yang rapat dengan Hizbullah.

Akhbar Al-Hayat bagaimanapun mempersoalkan sama ada lawatan itu menandakan usaha Iran mengetengahkan negara itu sebagai kuasa utama di Asia Barat.

“Bolehkah Iran mengisi kekosongan di Asia Barat selepas ‘kehancuran’ Kesatuan Soviet dan pengunduran Amerika?” tanya akhbar beribu pejabat di London itu. – AFP

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AmerikaperluhormatimesejpemimpinIran/Article

No comments:

Post a Comment