Wednesday, December 22, 2010

PENYEBARAN SYIAH SEMEMANGNYA DISEKAT DI BUMI SUNNI!


Penulis hairan bila ada sesetengah orang mengatakan kita tidak perlu menggunakan kuasa bagi menangani Syiah. Bagi penulis, benar ia tidak perlu jika penganut Syiah itu adalah penganut asal ajaran ini dan hanya beramal bagi dirinya sendiri. Tetapi jika selepas lebih kurang 10 tahun kerajaan mengambil tindakan ISA terhadap Syiah, tiba-tiba Syiah di Malaysia dilihat semakin berkembang biak sehingga tumbuhnya banyak hauzah-hauzah pengajian mereka, berlakunya perkahwinan sunni-syiah, kedatangan ayatollah-ayatollah Syiah...tidakkah itu namanya satu perkembangan dek kerana penyebaran Syiah yang amat pesat.

Bagi penulis, keadaan ini perlu disekat dengan menggunakan kuasa. Bukan hanya berhujjah semata-mata. Penulis juga tidak melihat apa-apa usaha daripada pihak yang menentang Syiah untuk berhujjah. Mereka lebih mengambil pendekatan hujjah belakang tabir. Iaitu berceramah depan ASWJ sendiri bagi menghentam Syiah. Bukan berhadapan dengan tokoh-tokoh Syiah sendiri. Penulisan-penulisan tentang Syiah atau jawapan balas terhadap tohmahan Syiah kepada ASWJ terbiar tidak dijawab. Sebagai contoh, ketika Dr MAZA menjadi Mufti Perlis tiada pula satu program diadakan oleh Mufti Perlis untuk berhujjah dengan Syiah Perlis. Padahal di Perlis hauzah Syiah sememangnya wujud! Sebaliknya Mufti Perlis pernah menulis surat supaya pihak tertentu menghentikan penerbitan tulisan Faisal Tehrani yang dikatakan mempunyai unsur-unsur Syiah. Maksudnya, Mufti Perlis ketika itu juga menggunakan kuasanya bukan berhujjah. Berhujjah itu hanya retorik semata-mata seperti orang politik jua.

Kerana itu, penulis berpandangan setiap sesuatu kena lihat pada tempatnya. Kemaraan Syiah secara mendadak di negara kita perlu dilihat dalam konteks yang lebih global. Ini adalah satu gerakan tasyayyu'' yang sedang berlaku di seluruh dunia sunni hatta ianya diakui oleh al-Azhar sendiri. Ia bukan berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia sunni. Oleh kerana itu, Syeikh al-Azhar terdahulu, al-Marhum Dr. Muhammad Sayyid Tantawi telah menegaskan, "tiada Syiah di bumi Mesir dan kami tidak akan menerima penyebarannya!"

Sebagaimana ia juga ditegaskan oleh Syeikh al-Azhar yang baru, Dr. Ahmad Tayyib bahawa, "Sesungguhnya aku merasai di sana terdapat perancangan bukan dgn tujuan 'taqrib' tetapi untuk mensyiahkan pemuda-pemuda sunni!". Oleh kerana Dr. Ahmad Tayyib juga menegaskan bahawa beliau akan berusaha menyekat apa jua percubaan untuk menyebarkan mazhab Syiah di kalangan masyarakat sunni.

Wallahu a'lam.


http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/12/penyebaran-syiah-sememangnya-disekat-di.html

No comments:

Post a Comment