Saturday, December 18, 2010

Ajaran tak pernah diiktiraf di Malaysia

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya tidak keliru dengan ajaran Syiah yang cuba dibawa dan dihidupkan di negara ini kerana kerajaan hanya mengiktiraf ajaran Islam yang berasaskan kepada ajaran Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan.

Tokoh agama yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Dr Hassan Din al-Hafiz, berkata Syiah tidak pernah diiktiraf di Malaysia kerana banyak ajarannya bertentangan dengan ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah malah yang lebih membimbangkan ada dari kalangan mazhab Syiah yang memang terkeluar dari ajaran Islam.

“Itulah sebabnya ajaran Syiah tidak diiktiraf kerana ia memberikan implikasi yang besar terhadap pemahaman akidah umat Islam kerana ajarannya yang tidak selari dengan ajaran dibawa Rasulullah SAW.

“Lebih membimbangkan adalah perkahwinan di antara umat Islam yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut Syiah yang boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan terbabit boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap kira-kira 200 pengikut ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha dipercayai ajaran Syiah yang mengamalkan 23 penyelewengan termasuk memukul badan dengan rantai besi sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa di Taman Seri Gombak.

Hassan berkata, banyak ajaran Syiah yang terang-terangan menyimpang dan bertentangan dengan ajaran Islam termasuk memukul badan dengan menggunakan rantai pada 10 Muharam sebagai tanda menyucikan dosa, menziarahi kubur Saidina Hussein (cucu Rasulullah) sebagai ganjaran ke syurga serta menghina isteri Nabi Muhammad SAW.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AjarantakpernahdiiktirafdiMalaysia/Article/

No comments:

Post a Comment