Monday, December 6, 2010

Iran cukup bahan hasil nuklear

TEHERAN: Iran semalam mengumumkan ia sudah membuat pengeluaran sulung sebatian uranium atau yellowcake, bahan mentah yang diperlukan untuk pengayaan galian berkenaan, sekali gus menandakan republik itu tidak perlu bergantung kepada mana-mana negara lain dalam melengkapkan kitaran bahan api nuklear.

Pengumuman itu yang dibuat sehari sebelum rundingan Teheran dengan enam kuasa besar berhubung bantahan mereka terhadap program nuklearnya, mengukuhkan kedudukan Iran dalam perbincangan itu.

Ketua program nuklear Iran, Dr Ali Akbar Salehi berkata Iran kini tidak perlu mengimport sebatian uranium itu dalam melengkapkan kitaran bahan api nuklear.

“Negara Barat sebelum ini menganggap program nuklear Iran boleh terjejas jika kegiatan mengimport bekalan bahan mentah itu terhenti tetapi hari ini kita sudah membuat pengeluaran pertama sebatian uranium dari lombong Gachin yang diproses di kemudahan Isfahan,” syarikat televisyen tempatan melaporkan Salehi sebagai berkata.

Kemudahan Isfahan mengubah sebatian uranium kepada uranium hexafluoride bagi pengayaan.

“Kita tidak boleh memenuhi keseluruhan keperluan kemudahan Isfahan tetapi kita mampu memenuhi sebahagian besar daripada keperluan berkenaan daripada bahan mentah yang dibekalkan oleh lombong Gachin yang berkedudukan berhampiran Bandar Abbas, kata Salehi.
“Iran sudah berdikari dalam keseluruhan kitaran bahan api nuklear daripada cari gali uranium, perlombongan dan menukarnya kepada sebatian uranium dan mengubahnya kepada UF6, seterusnya kepada kepingan bahan api,” katanya.

Beliau berkata Iran akan memaklumkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mengenai permulaan pengeluaran sebatian uranium itu.

Salehi berkata perkembangan itu bermakna Iran akan pergi ke meja rundingan dengan enam kuasa besar di Geneva dengan kekuatan baru.

Kegiatan pengayaan uranium adalah isu utama yang menjadi kebimbangan negara Barat kerana proses itu turut boleh menjurus kepada pembangunan senjata nuklear.

Iran menafikan ia berhasrat membangunkan senjata nuklear tetapi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) atas desakan negara kuasa besar tetap mengenakan sekatan ke atasnya sejak 2006. – AFP

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Irancukupbahanhasilnuklear/Article

No comments:

Post a Comment