Saturday, December 18, 2010

Musykil sekatan PPB terhadap Iraq ditarik balik

TIDAK memeranjatkan mengapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan sebulat suara untuk menghapuskan tiga sekatan yang dikenakan terhadap Iraq. Ini kerana pemangkin sekatan tersebut iaitu Saddam Hussein sudah pun dihapuskan. Sekatan yang dimaksudkan itu mula dikenakan setelah Saddam menceroboh Kuwait pada 1990.

Tambahan pula, kerajaan Iraq besar kemungkinan akan dibentuk beberapa hari lagi setelah pemimpin parti Iraqiya iaitu Ayad Allawi akhirnya bersetuju untuk bersama-sama dengan Nuri Al-Maliki membentuk kerajaan setelah sembilan bulan pilihan raya berlalu.

Amerika Syarikat (AS) iaitu pengerusi Majlis Keselamatan PBB telah bekerja keras untuk memastikan kesemua 15 buah negara ahli menyokong usaha tersebut. Kesungguhan tersebut ditonjolkan dengan Naib Presiden AS Joe Biden sendiri yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berkenaan.

Mengapa AS begitu beria-ia mahu melihat sekatan tersebut ditarik balik dapat diselami kerana Washington begitu terdesak mahu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa keadaan Iraq pada masa sekarang adalah jauh lebih baik dan aman jika hendak dibandingkan semasa era pemerintahan Saddam.

AS juga dengan secara tidak langsung telah mengumumkan kepada dunia bahawa mereka tidak berminat untuk kekal di Iraq dan pengunduran yang dirancang bukan sekadar retorik. Tetapi bakal menjadi kenyataan dalam masa setahun akan datang.

Kesungguhan untuk menghapuskan sekatan boleh diibaratkan kebenaran strategi AS menceroboh Iraq pada 2003 dan seterusnya menghapuskan Saddam adalah satu langkah yang tepat dilakukan demi menjaga kebajikan rakyat Iraq. Kenyataan Biden yang menegaskan Iraq bakal menjadi negara yang stabil dan berdikari bagaikan menempelak mereka yang membantah pencerobohan Iraq oleh AS.

Terdapat kebenaran dalam kenyataan Biden kerana salah satu sekatan yang ditarik balik ialah mengenai pendapatan hasil penjualan minyak dan gas Iraq. Mulai 30 Jun 2011 kerajaan Iraq mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hasil pendapatan tersebut tanpa kekangan. Ini adalah kerana sejak 1995 perbelanjaan hasil pendapatan tersebut dikawal oleh PBB.

Terhapusnya kekangan terhadap perbelanjaan hasil pendapatan minyak dan gas, kerajaan Iraq diharapkan dapat merencanakan pembangunan dengan lebih teratur dan pesat. Sebab itu Biden begitu yakin Iraq akan menuju ke arah yang lebih makmur.

Tetapi dalam kesungguhan AS itu, terdapat kemusykilan kerana salah satu sekatan yang dihapuskan terbabit dengan keupayaan Iraq untuk membangunkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dalam bentuk senjata kimia, biologi dan nuklear. Sekatan WMD mula dikenakan terhadap Iraq kerana timbul kebimbangan terhadap Saddam yang mempunyai niat dan cita-cita untuk membangunkan senjata tersebut.

Timbul tanda tanya kerana dalam usaha AS untuk mengekang penularan pembangunan program nuklear di Asia Barat, dalam kes Iraq seolah-olah Washington cuba menggalakkannya pula. Memang benar Iraq hari ini adalah sekutu AS. Tetapi usaha yang serupa negara sekutu lain seperti Arab Saudi dan Mesir umpamanya ditegah pula.

Jika hendak diandaikan Washington mahu menjadikan Iraq sebagai kuasa pengimbang terhadap kemampuan nuklear Iran, perkara ini tidak logik kerana negara sekutu AS yang lain di Asia Barat adalah calon imbangan yang lebih baik dan efektif. Riyadh umpamanya dinilai mempunyai kuasa imbangan yang lebih baik kerana mempunyai kestabilan pemerintahan yang boleh diharapkan.

Tambahan pula walaupun Iraq dikatakan berada di bawah telunjuk AS, tetapi dalam keadaan yang sebenarnya Tehran juga mempunyai pengaruh yang agak besar terhadap Baghdad. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan pengaruh Tehran terhadap Baghdad adalah lebih kuat jika dibandingkan dengan pengaruh Washington. Kegagalan parti pimpinan Allawi untuk membentuk kerajaan walaupun mempunyai kerusi Parlimen paling banyak adalah disebabkan oleh pengaruh Tehran yang tidak mahu melihat pihak fahaman Sunnah memerintah Iraq.

Ada yang berpendapat Washington tidak begitu bimbang dengan kemunculan WMD Iraq kerana negara tersebut tidak berminat atau tidak mempunyai kepakaran untuk membangunkan senjata tersebut. Tambahan pula perlembagaan Iraq yang baru melarang sebarang pembangunan mengenai WMD.

Washington juga begitu yakin tidak akan wujud pemerintah diktator seperti Saddam kerana perkongsian kuasa di antara Syiah, Sunnah dan Kurdis adalah seimbang dalam kerajaan Iraq.

Tetapi jika diteliti pengaruh Tehran yang memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan Iraq, Washington telah mengambil risiko yang agak tinggi dengan tidak meletakkan kekangan pembangunan nuklear Iraq. Kemungkinan dalam ketaksuban AS mahu meninggalkan Iraq secepat mungkin, keupayaan untuk menilai Iraq dua atau tiga dekad akan datang telah dikaburi.

Mungkin ketika ini tidak nampak kemungkinan Iraq akan membangunkan program nuklear kegunaan awam kerana industri minyak dan gas negara tersebut masih dalam keadaan yang bercelaru. Tetapi kemungkinannya tetap ujud pada masa akan datang apabila negara tersebut menjadi lebih stabil dan mempunyai sumber pendapatan lumayan, Iraq sudah pasti mempunyai keinginan mempunyai loji nuklear yang dapat menjana tenaga elektrik umpamanya.

Lazimnya bermula dari loji nuklear beginilah akan menimbulkan masalah yang lebih besar seperti yang dihadapi oleh Iran pada ketika ini. Sejarah telah membuktikan pembangunan nuklear Iran bermula dengan bantuan AS kerana pada ketika itu Tehran dan Washington adalah sekutu rapat. Dunia sudah pasti tidak mahu melihat apa yang berlaku dengan nuklear Iran hari ini terjadi kepada Iraq akibat kecuaian dasar AS.

Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1218&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment