SHAH ALAM 1 Nov. – Polis sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah yang dilakukan empat lelaki warga Iran dan seorang rakyat India serta merampas 5.45 kilogram syabu bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam dua serbuan kelmarin dan semalam.
Dalam kejayaan pertama kelmarin, empat warga Iran ditahan antara pukul 10.30 dan 11.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang setelah selesai menjalani pemeriksaan kastam dan sedang menunggu teksi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir, tiga daripada mereka yang berusia 26 hingga 43 tahun dikesan cuba menyeludup masuk syabu seberat 950 gram, 1000 gram dan 900 gram dalam beg pakaian masing-masing.
“Dadah itu disembunyikan dalam rangka beg pakaian yang mempunyai ruang di dalamnya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nordin menambah, keseluruhan dadah yang dirampas seberat 2.85 kilogram dan taktik menyembunyikan dadah dalam ruang rangka beg ini pertama kali dikesan oleh pihak polis.Kata beliau, seorang lagi rakan mereka yang berumur 26 tahun tetap ditahan walaupun polis tidak menemui dadah dalam beg pakaiannya.
Polis percaya dia turut terlibat dalam sindiket penyeludupan itu.
Sementara itu, Nordin memberitahu, tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki warga India pada pukul 1.30 petang di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) semalam.
“Suspek tiba dari Chennai, India dan sebaik sahaja tiba di KLIA, dia mengambil penerbangan ke Labuan, Sabah melalui LCCT sebelum kembali ke ibu negara dua hari kemudian.
“Modus operandi ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka datang dari destinasi domestik, bukannya dari India,” katanya.
Nordin memberitahu, suspek berusia 36 tahun itu bekerja sebagai tukang jahit dan sudah 12 kali masuk ke negara ini.
Pemeriksaan yang dilakukan menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.6 kilogram yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman sehingga 7 November depan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment