Monday, November 8, 2010

Nouri al-Maliki kekal PM Iraq

BAGHDAD 8 Nov. - Blok-blok politik di Iraq sepakat untuk berkongsi kuasa yang menyaksikan Nouri al-Maliki daripada puak Syiah, kekal sebagai Perdana Menteri, genap lapan bulan selepas satu pilihan raya diadakan di negara ini yang tidak memberi kemenangan mutlak kepada mana-mana parti.

"Satu perjanjian telah dicapai semalam di kalangan parti-parti politik. Jalal Talabani akan kekal sebagai Presiden, al-Maliki sebagai Perdana Menteri dan pakatan Iraqiya akan memilih calonnya untuk jawatan Speaker Parlimen," kata jurucakap kerajaan, Ali al-Dabbagh kepada AFP.

Menurutnya, kata sepakat itu dicapai antara Perikatan Kebangsaan Iraq (INA) yang mewakili parti-parti Syiah dan pakatan Kurdish, sementara sokongan Iraqiya bergantung kepada perjanjian berhubung jawatan Speaker dan Presiden.

"Buat masa ini, Iraqiya masih belum menetapkan pihak mana yang bakal memegang jawatan Speaker Parlimen dan Presiden," kata al-Dabbagh.

Blok Iraqiya pimpinan bekas Perdana Menteri Iyad Allawi daripada puak Sunah yang memenangi kebanyakan kerusi pada pilihan raya pada 7 Mac lalu. Namun ia masih belum cukup untuk membentuk majoriti, turut mengesahkan perjanjian tersebut dan menyatakan pihaknya masih berbincang tentang dua jawatan tertinggi itu.

"Draf perjanjian dengan Iraqiya sudah dibuat, tetapi masih ada masalah yang perlu diselesaikan," kata al-Dabbag, sambil menambah kata, Parlimen akan bersidang pada Khamis ini bagi memilih Speaker baru, satu langkah ke arah pembentukan kerajaan.

Jurucakap itu berkata, al-Maliki dan Allawi juga akan menghadiri satu majlis di Arbil, ibu negara wilayah autonomi Kurdistan hari ini, bagi mengumumkan persepakatan blok-blok politik secara rasmi.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, dalam kunjungannya ke Australia hari ini berkata, Iraq perlu membentuk kerajaan yang mempunyai wakil daripada pelbagai kumpulan.

"Kita sentiasa mendesak rakyat Iraq supaya membentuk kerajaan yang menggambarkan kepentingan serta keperluan semua lapisan masyarakat, yang bermaksud ia adalah satu perkongsian kuasa antara puak-puak dan individu," katanya.

Ahli Parlimen Jamal al-Butikh daripada Iraqiya sebelum ini berkata, bloknya bersetuju dengan perjanjian perkongsian kuasa selepas ia diyakinkan bahawa 'tiada keputusan politik akan dibuat tanpa persetujuannya'. - AFP



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

No comments:

Post a Comment