Tuesday, November 30, 2010

WikiLeaks teruskan pendedahan

WASHINGTON 29 Nov. - Laman web WikiLeaks semalam mula mendedahkan lebih 250,000 dokumen diplomatik Amerika Syarikat (AS), termasuk berhubung kebuntuan membabitkan penyelidikan nuklear Pakistan dan desakan pemimpin- pemimpin Arab supaya AS menyerang Iran.

Dokumen lain turut melibatkan pembongkaran cubaan serangan siber kerajaan China terhadap Google, rancangan menyatukan semula semenanjung Korea selepas kejatuhan Korea Utara dan kenyataan Raja Abdullah dari Arab Saudi yang meminta AS mengebom Iran bagi menghentikan program nuklearnya dengan berkata: 'Penggal sahaja kepala ular itu'.



Maklumat sulit itu yang kebanyakannya bertarikh dari 2007 hingga Februari lalu turut mendedahkan bagaimana Jabatan Negara AS mengarahkan diplomat supaya mengintip pegawai asing, selain mendapatkan kad kredit mereka serta nombor penerbangan yang mereka naiki.

Pendedahan itu juga memperlihatkan kata-kata tertutup yang boleh menimbulkan skandal termasuk kenyataan Presiden Yemen yang berbunyi: 'Kami akan terus menyatakan bom itu milik kami dan bukan kepunyaan kamu' semasa membincangkan serangan sulit AS ke atas al-Qaeda.

Satu dokumen lagi mendedahkan tentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang menunjukkan beliau memerlukan rawatan hampir setiap masa daripada seorang jururawat Ukraine berambut perang yang mengghairahkan.

Akhbar New York Times, The Guardian di Britain, Der Spiegel di Jerman, Le Monde di Perancis dan El Pais di Sepanyol semalam melaporkan tentang pendedahan itu dan berkata, lebih banyak dokumen akan dibongkar dalam masa beberapa hari lagi.

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange menyifatkan pendedahan tersebut sebagai 'sejarah diplomatik AS' yang meliputi semua isu besar.

Pada bahagian pengenalan pendedahan, WikiLeaks menggambarkan AS sebagai kuasa besar hipokrit dan menyerang percanggahan antara imej 'baik' negara itu yang ditonjolkan berbanding apa yang dikatakan secara tertutup.

"Dokumen-dokumen itu menunjukkan intipan meluas AS ke atas sekutu-sekutunya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping sengaja 'membutakan mata' terhadap rasuah dan penderaan manusia di 'negara-negara yang bergantung kepadanya'," jelasnya.

White House dalam reaksinya berkata, pendedahan tersebut 'sangat tidak berasas dan meletakkan nyawa pegawai-pegawainya dalam bahaya'.

"Pendedahan seumpama ini membawa risiko kepada diplomat, pegawai risikan dan dan semua individu di dunia yang datang ke AS bagi membantu menggalakkan demokrasi serta kerajaan terbuka," kata Setiausaha Media, Robert Gibbs dalam satu kenyataan. - AFP


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

No comments:

Post a Comment