Saturday, December 18, 2010

Pentadbiran universiti perlu ambil tindakan

JOHOR BAHRU: Pihak pentadbiran universiti diminta menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada pensyarah mereka yang menganuti fahaman Syiah sehingga mempengaruhi pelajar di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fahaman berkenaan bertentangan dengan ajaran berteraskan Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan umat Islam di negara ini.

“Setakat ini saya tidak tahu ada atau tidak, kerana itu saya minta pihak universiti siasat dan ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Tumpu 2010 Zon Johor Jaya/Plentong, di sini, semalam.

Khamis lalu, akhbar ini melaporkan mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap pengikut ajaran Hauzah Ar Ridha.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas JAIS menyerbu premis berkenaan, jam 10.50 malam Rabu lalu dan menahan 200 individu termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), remaja dan kanak-kanak selain seorang lelaki warga Iran yang memberi ceramah.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya bimbang jika ada pensyarah di universiti terbabit sama dalam fahaman berkenaan kerana ia boleh mempengaruhi golongan pelajar.

Sementara itu di PASIR PUTEH, Timbalannya, Datuk Shaifuddin Abdullah, berkata maklumat mengenai kes berkenaan sedang dikumpulkan dan ia akan diserahkan kepada Mohamed Khaled untuk tindakan lanjut.
“Kes seperti ini adalah terpencil, namun tindakan tegas akan tetap dikenakan kepada pelajar dan pensyarah yang terbabit. Kementerian tidak risau soal mazhab itu kerana jabatan agama serta ulama sudah tentu mampu menanganinya.

“Yang merisaukan ialah kegiatan itu mampu memberi kesan bukan saja kepada keselamatan IPT, malah pelajar serta pensyarah lain,” katanya pada Program Cakna Mahasiswa IPT Kelantan 2010, di Sekolah Kebangsaan (SK) Danan, dekat sini, semalam.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pentadbiranuniversitiperluambiltindakan/Article/

No comments:

Post a Comment