Monday, December 20, 2010

Ajaran Syiah tidak sesuai di Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kalangan tokoh agama menyifatkan fahaman Syiah tidak sesuai untuk diamalkan oleh umat Islam di negara ini dan mereka dinasihatkan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengannya.

Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, fahaman itu tidak sesuai diamalkan kerana ia bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

"Kita bimbang amalan yang salah ini akan menimbulkan kekeliruan sehingga membawa salah faham kepada seluruh umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembongkaran kegiatan ajaran Syiah tegar berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya di Batu Caves, baru-baru ini.

Abdul Shukor berkata, ada baiknya umat Islam menjauhkan diri daripada terlibat dengan fahaman ini kerana dikhuatiri akan membawa kepada kesesatan.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ajaran Syiah sememangnya banyak bertentangan dengan amalan mazhab Shafie.

"Sebagai contoh, kita tidak menerima perkahwinan mutaah yang memang menjadi amalan fahaman ini,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, jika semakin ramai umat Islam terpengaruh dengan fahaman itu sudah pasti akan berlaku pelbagai perbezaan ajaran yang boleh membawa kepada perpecahan ummah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut juga berpendapat umat Islam di negara ini tidak perlu menjadi pengikut fahaman Syiah.

Malah katanya, tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan pengikut kumpulan Syiah itu adalah langkah segera bagi menyekat fahaman itu daripada berleluasa.

"Kita tidak boleh biarkan fahaman Syiah ini berkembang kerana ia boleh mengancam perpaduan umat Islam di negara ini," katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

No comments:

Post a Comment