Thursday, December 16, 2010

Dua dipercayai pemimpin ajaran Syiah diikat jamin

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Seorang lelaki tempatan dan seorang warga Iran yang dipercayai pemimpin fahaman Syiah dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang dekat sini hari ini.

Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin membenarkan lelaki berusia 48 tahun dan warga Iran berumur 44 tahun diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin, penjawat awam Kelas A yang bermastautin di Selangor.

Pada prosiding itu pertuduhan terhadap mereka tidak dibacakan kerana penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih perlu mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Menurut pegawai penyiasat Mohd. Nordin Abdullah, JAIS sedang menyiasat mereka mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Seksyen itu berkaitan perbuatan menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama (Mufti).

Pada prosiding yang sama, kira-kira 20 orang pengikut fahaman itu hadir memberikan sokongan terhadap dua lelaki terbabit.

Di antara mereka ada yang memakai kemeja-T berwarna hitam tertera perkataan 'Hauzah Ar Ridha' dipercayai nama kumpulan itu.

Sebelum prosiding bermula, lelaki tempatan berkenaan cuba menjelaskan kepada pihak media bahawa pegangan yang dibawanya adalah betul dan tidak seharusnya dianggap salah.

Mereka berdua antara yang ditahan ketika serbuan dibuat pada pukul 10.15 malam tadi di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini.

Dalam serbuan itu, JAIS turut merampas dan menyita barang-barang di markas kumpulan itu seperti papan tanda premis, video, gambar dan kain rentang.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment