Sunday, October 17, 2010

NATO tak mampu kalahkan Taliban

KABUL: Pergerakan Taliban berjaya mematahkan semua operasi askar asing dan tidak akan kalah kepada tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam apa juga cara, kata pegawai atasan tentera Australia.

Pegawai itu, Brigadier Mark Smethurst memberi penilaian itu ketika jumlah askar asing yang terbunuh di Afghanistan tahun ini hampir 600 orang semalam dengan kematian seorang tentera NATO kerana serangan ala Taliban di selatan negara itu.

Askar terbabit maut akibat letupan bom yang diubah suai atau IED,” kata pasukan tentera NATO atau ISAF merujuk kepada bom kawalan jauh yang digunakan militan secara meluas.

Kematian itu menjadikan 593 tentera asing maut tahun ini di Afghanistan, menurut kiraan laman web bebas icasualities.org. Jumlah yang maut tahun lalu ialah 521 orang.

Smethurst berkata, mengawal keselamatan di Afghanistan mungkin mengambil masa berdekad, namun kejayaannya tidak pasti tanpa perubahan strategi, penilaian bercanggah dengan dakwaan kerajaan pusat mengenai perkembangan di Afghanistan.

Ketika peranan utama tentera Australia ialah menjadi mentor kepada anggota tempatan, beliau berkata, tentera Afghanistan tidak dapat berdikari dalam operasi walaupun dilatih selama tujuh tahun, malah disifatkan lebih teruk lagi dibandingkan polis di negara itu.

Kerajaan Afghanistan pula tidak berkesan dan gagal untuk menangani rasuah, penderaan hak asasi manusia dan sistem keadilan tidak wujud. Pengagihan bantuan, katanya, sesuatu yang ‘membazir, tidak berkesan dan tidak mencukupi.’

Smethurst secara tersirat mengkritik pendekatan kerajaan John Howard dan memberi persoalan mengenai agenda kerajaan terkini.

Ketika kerajaan pimpinan Julia Gillard menyatakan anggotanya berada di Afghanistan untuk memerangi kubu al-Qaeda, Smethurst mendedahkan, alasan utama ialah terus berada dalam operasi bersama tentera Amerika Syarikat.

Dalam satu dokumen yang dianggap memberi masalah bagi ahli parlimen sebelum perdebatan dewan minggu ini berhubung Afghanistan, beliau menegaskan, Australia perlu menarik diri jika negara itu gagal mencapai sasaran utama menjelang 2012 iaitu melatih tentera Afghanistan.

“Berbanding dengan kempen anti-pengganas lain, peluang penyelesaian dalam jangka pendek jelas tipis. Malah, tindakan ketenteraan paling kuat dan kerjasama di peringkat nasional, masih sukar untuk melihat penyelesaian kurang daripada 10 tahun kecuali tindakan proaktif diambil sekarang.”

Smethurst adalah pegawai pasukan khas yang amat dihormati, dan pernah bertugas di Timor Leste, Iraq dan Afghanistan sepanjang 28 tahun kerjayanya.

Ketika ini, beliau bertugas sebagai timbalan komandan dengan Arahan Operasi Khas, beliau dikatakan bakal mengisi jawatan penting gabungan di Afghanistan.

Ketika dokumennya ditulis tahun lalu, beliau memberitahu The Sunday Age, pandangannya tepat dalam isu Afghanistan.

Bertajuk ‘Creating Conditions for the Defeat of the Afghan Taliban: A Strategic Assessment’ atau Mencipta Keadaan Untuk Mengalahkan Taliban Afghan: Penilaian Strategik, ia baru-baru ini diterbitkan secara online oleh Kolej Pertahanan Australia. – Agensi

Berita Harian

No comments:

Post a Comment