Tuesday, October 26, 2010

Hamid Karzai Mengaku Dapat Wang Daripada Iran

KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam mengakui pejabatnya menerima wang AS$700,000 (RM2.1 juta) hingga AS$975,00 (RM3 juta) daripada Iran untuk perbelanjaan Presiden.

Beliau turut mengakui Washington menghulurkan berguni-guni wang kerana pejabatnya kekurangan dana.

Kenyataan Karzai dikeluarkan sehari selepas akhbar New York Times melaporkan Iran menyumbangkan wang yang banyak kepada Ketua Staf Presiden, Umar Daudzai bagi membeli kepercayaannya dan untuk meningkatkan kepentingan Iran di Afghanistan.


Akhbar itu memetik sumber yang tidak didedahkan yang memberitahu, wang tunai dalam bentuk dana rahsia itu digunakan oleh Hamid dan Umar untuk menyogok anggota-anggota Parlimen Afghanistan, pemimpin puak dan komander Taliban supaya setia kepadanya.

Hamid bagaimanapun memberitahu wartawan semalam bahawa beliau mengarahkan Umar supaya menerima wang daripada Teheran.

"Wang itu sumbangan rasmi dan atas arahan saya," katanya.

Menurutnya, beberapa buah negara telah menghulurkan wang kepada pejabatnya dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara pertama menyumbangkan AS$1.5 juta (RM4.6 juta) sembilan tahun lalu ketika pentadbiran sementara Afghanistan dibentuk.

"Kami menyalurkan semua wang itu kepada Bank Negara bagi membiayai perbelanjaan pentadbiran harian," kata Hamid.

"Penyaluran wang ini berlaku secara terbuka. Ia bukan sumbangan rahsia," tambahnya.

Menurutnya, beliau berasa terhutang budi kepada Iran kerana perhatian berat negara itu.
"AS turut melakukan perkara yang sama. AS menyediakan wang tunai kepada beberapa pejabat kami," katanya.

Kedutaan Iran di Afghanistan bagaimanapun menafikan pernah memberikan wang tunai kepada Umar dan menyifatkan kenyataan Hamid sebagai tidak munasabah dan menghina Teheran. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Post a Comment