Saturday, August 27, 2011

Usaha kelirukan umat Islam

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Tindakan pihak tertentu yang cuba mengedarkan buku fahaman Syiah ke masjid-masjid di seluruh negara dipercayai merupakan gerakan terancang pihak berkenaan untuk mengelirukan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehubungan itu pihak masjid perlu meneliti dan memahami kandungan buku-buku yang diedarkan ke masjid supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan. Bagaimanapun, kita telah menetapkan tiada ajaran agama lain yang boleh disebarkan kepada umat Islam,” katanya.

Menurutnya, umat Islam di negara ini mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak sewajarnya dicampur aduk dengan fahaman Syiah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada pendakwah dan pengawal keselamatan sekitar Wilayah Persekutuan di Bangunan Perkim dekat sini hari ini.

Jamil Khir mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka semalam kerana dipercayai menjadi markas ajaran Syiah.

Turut hadir pada majlis penyampaian bantuan zakat itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Osman Mustapha; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shahneen Mirza Habib.

Sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada 100 pendakwah manakala RM396,800 untuk 1,984 pengawal keselamatan pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya akan mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi mengawal pergerakan ajaran tersebut.

“Kita sentiasa membuat pemantauan serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerakan seperti ini melalui kaedah nasihat atau tindakan undang-undang bagi mengelakkan ia daripada terus berleluasa,” katanya.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0827&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment