Friday, August 26, 2011

Masjid Terengganu sasaran buku ajaran Syiah

KUALA TERENGGANU 25 Ogos - Pengedaran buku mengenai 'kebenaran' ajaran Syiah yang dikaitkan dengan akidah Islam sebenar ke masjid-masjid seluruh negeri ini sejak beberapa hari lalu menimbulkan tanda-tanya umum.

Sehubungan itu juga, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) telah mengarahkan pihak masjid yang menerima buku tersebut agar menyerahkannya kepada pejabat agama terdekat.

Buku-buku itu diposkan kepada semua pengerusi masjid untuk diagihkan kepada imam yang bertugas di setiap masjid di mana setiap bungkusan mengandungi tiga set buku yang perlu dituntut di pejabat pos.

Salah sebuahnya berjudul Akhirnya Kutemui Kebenaran, buku terjemahan berbahasa Arab tulisan Dr. Muhammad al-Tijanji Al-Samawi setebal 245 halaman dan terdapat catatan ia terbitan kumpulan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa, 1995.

Sebuah lagi buku setebal 548 halaman berjudul Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Sebenar dan Kewajipan Muslim Mentaati Kepimpinan Yang dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia Akhirat.

Setiap bungkusan itu disertakan dengan cap pengirim atas nama Majlis Syiah Malaysia, beralamat No. 148, Jalan Haji Mahmood, Ulu Tiram, Johor di samping terdapat cop beralamat Majlis Syiah Malaysia, 1012, Desa Melawati, Kuala Lumpur yang diragui.

Pengerusi Masjid Kampung Petai Bubus di sini, Tuan Syarif Putera menyifatkan ia mungkin langkah halus untuk menyemai fahaman itu melalui para imam di peringkat akar umbi.

''Ia juga mungkin salah satu taktik, di mana apabila menjadi isu dan heboh diperkatakan, ia mungkin mendorong untuk membaca buku itu dan memudahkan mereka mempercayai dan menerima ajaran Syiah.

''Gejala seumpama itu dengan keberanian yang makin diperlihatkan dalam menyebarkan ajaran yang ditegah di negara ini, perlu dibanteras dengan tegas kerana ia boleh mencetuskan kecelaruan yang membahayakan akidah umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JHEAT, Mohd. Rozali Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pihaknya telah meneliti buku-buku yang diserahkan kepada pihak berkuasa.

''Kita telah maklumkan kepada semua pegawai agama dan masjid tentang buku-buku fahaman Syiah sedang cuba diedarkan ke masjid seluruh negeri oleh pihak tertentu.

''Kita akan menjalankan pemantauan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri berhubung mereka yang dikaitkan dengan penghantaran bahan-bahan ini," ujarnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya akan memanggil satu mesyuarat khas bersama para pegawai masjid mengenai langkah kawalan penyebaran bahan seumpama itu di masjid-masjid.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

1 comment: