Saturday, June 18, 2011

Isu Nuklear Iran dan Konflik Iran-U.S

Projek membangunkan nuklear wujud dibumi Iran ketika pemerintahan diktator beraja, Shah Jehan sekutu rapat U.S menerusi bantuan Amerika sendiri, sekaligus menandakan Amerika sangat makruf mengenai jumlah dan nilai kekuatan Iran yang sebenar. Namun kepentingan atau nilai ancaman Iran kepada U.S, terutama kepada sekutu utamanya, Israel atau blok Barat tidaklah seperti bahayanya Iraq kepada kepada Israel. Jumlah simpanan minyak Iraq juga jauh lebih banyak berbanding apa yang terdapat di bumi Iran. Tindakan-tindakan U.S dan Barat terhadap Iran berkaitan isu nuklearnya sebelum ini sangat rapuh dan ringan sebagaimana yang diakui oleh bekas Setiausaha Luar negara itu, Condolezza Rice.


Kita juga melihat betapa gahnya Iran berkali-kali mempersenda-sendakan resolusi PBB sehingga dunia boleh membuat kesimpulan bahawa Iran adalah sebuah negara yang kuat dan hebat. Tidak kurang pula menyatakan U.S ‘takut’ berhadapan dengan Iran sedangkan realitinya Iran masih dalam ‘membikin’ senjata itu bersama Russia, bahkan sebaliknya Amerika sudah lama mencuba senjata berbahaya itu ke atas bandar Hiroshima dan Nagasaki dalam sesi perang dunia yang lalu, sebagai bukti kekuatan sebenar U.S.


Timbul persoalan ialah jika benar hasrat U.S dan Barat benar-benar ingin menghapuskan Iran pada masa akan datang, maka secara logiknya Amerika bukanlah sebuah negara yang cerdik kerana sanggup mengambil risiko dengan menunggu nuklear Iran siap dibangunkanterlebih dahulu barulah Amerika ingin bertindak menyerangnya, sedangkan peluang terbaik sudah lama terhidang sebelum ini. Sedangkan media Iran pada pertengahan tahun ini telah mengumukan Iran baru sahaja menjadi antara 10 negara kuasa nuklear terbesar dunia.


Tidakkah jika serangan terhadap Iran berlaku juga akan menjadikan U.S sebagai sebuah negara yang terlalu bodoh kerana tidak mengambil pelajaran dari Iraq yang langsung tidak memiliki WMD tetapi memberikan kesan yang amat besar kepada U.S dari segi jumlah kematian tenteranya, perbelanjaan tahunan negaranya, persenjataan malah telah menjejaskan parti Bush sendiri yang tumpas dalam pilihanraya baru-baru ini.


Konflik atau hubungan sebenar U.S, Barat atau Israel – Iran terus akan menjadi propaganda media kerana bukti-bukti sejarah lampau telah menyatakan :


a) Presiden Reagan bersama Bush Tua yang menjadi timbalannya mempunyai hubungan yang rapat dengan negara Iran yang diketuai oleh bapa Revolusi, Ayatullah Khomeini dalam ‘tragedi Oktober’ atau ‘October Surprise’ pada tahun 1980 di mana mereka semua berpakat untuk mengurung 52 diplomat Amerika selama setahun di Teheran bagi tempoh kempen pilihanraya Presiden di Amerika. Sebagai balasannya ialah Iran mendapat bekalan senjata untuk berperang menentang Iraq selama lapan tahun dalam hubungan yang dikenali sebagai Iran Contra yang menjadi sungguh kontroversi. Kejadian ini berlaku dalam mana Iran dilabel sebagai musuh utama mulai hari pertama Revolusi Iran dan dilabel sebagai paksi kejahatan oleh Presiden Reagan pada Julai 1985.


b) Iran telah bekerjasama dan menghulurkan bantuan kepada U.S dan Britain dalam kempen menentang kerajaan Taliban di Afghanistan sebegaimana yang diakui oleh Presiden Hamid Karzai dalam media barat baru-baru ini. Media perancis AFP turut melaporkan pengakuan yang sama dari bekas Presiden Iran, Mohamed al-Khatami di Perancis. Media-media Arab pada tahun 2002 turut menyatakan pengakuan Mohamad Ali al-Abtahi, bekas menteri Iran semasa Presiden Khatami dengan katanya, “Jika tidak kerana Iran, tidak akan jatuh Kabul dan Baghdad (ke tangan Amerika)’. Kerjasama Iran dalam menumbangkan Taleban bermula dengan Persidangan Bonn yang dianjurkan oleh PBB.


c) Iran telah menghulurkan bantuan tanpa hadnya kepada U.S dan Barat di Iraq melalui kerjasama dengan Britain. Menurut media Iran - Iran Press Service, Menteri Luar Britain bernama Jack Straw merupakan orang tengah kepada hubungan Iran-Britain bagi mengatur strategi menumbangkan Saddam di Iraq. Iran merupakan penaung kepada pemimpin buangan Saddam di Britain, U.S dan Iran. Ketika pembentukan jawatankuasa FCC untuk menumbangkan Saddam, di Britain, Amerika hadir bersama wakilnya, Zalmay Khalilzad berbincang dengan wakil-wakil Iran dan para pemimpin buangan Iraq di Britain termasuk Ahmad Chalabi yang merupakan sekutu rapat U.S bagi merangka kejatuhan Saddam. Ahmad Chalabi seorang Syiah Iraq, ialah ketua pembangkang yang begitu rapat dengan Iran dan Amerika persis watak Manoucher Ghorbanifar, warga Iran ketika hubungan sulit Iran-Amerika ketika skandal Iran-Contra sewaktu perang Iran-Iraq (1980-1988) dahulu.


d) Media Arab melaporkan asal usul kelahiran beberapa pegawai Israel termasuk bekas menteri Pertahanan Israel, Shaul Mofaz dan bekas presiden Israel bernama Moses Katsav merupakan dua tokoh negarawan Israel yang merupakan kelahiran Iran. Persepsi di dunia Arab bahawa wujudnya campurtangan serius Iran di negara-negara Arab untuk mewujudkan perang saudara (perang agama antara Sunnah-Syiah) sungguh pun berbaur sengketa Sunnah-Syiah, boleh diterima kerana media-media penganut Sunnah di Iran sendiri turut melaporkan keadaan penduduk Sunnah di Iran yang ditindas, di bunuh, di tahan hak sosio-ekonomi juga pendidikan. Malah mereka dinafikan hak untuk mendirikan masjid di Teheran selain diusir ke sempadan utara sejak lampau. Berbanding dengan keadaan warga Yahudi yang dilayan begitu istimewa dengan hak mendirikan kuil-kuil mereka, berpolitik (Iran memiliki wakil parlimen bangsa Yahudi) selain Iran sendiri memiliki siaran televisyen berbahasa Hebrew untuk tatapan masyarakat Yahudi di negara itu.


Sekalipun selepas isu panas ‘holocoust’ dari ucapan Ahmadinejad bagi tujuan propaganda media bagi melambangkan permusuhan Iran-Israel. Secara hakikatnya, tidak pernah berlaku permusuhan antara kaum Iran Parsi menentang Israel dalam sejarah dunia sejak zaman Purba.


Kesimpulannya, Isu nuklear Iran tidak akan bertukar nadanya selagi Iran tidak menjadi penting kepada sumber bekalan minyak Amerika dan selagi Iran tidak menggugurkan bom di bumi Israel sebagaimana Saddam melakukannya pada krisis teluk yang lampau. Dengan mengambil contoh Iraq yang langsung tidak memiliki senjata nuclear, bukti serangan boleh direka bagi menghalalkan serangan ke atas ratusan ribu manusia yang tidak berdosa. Serangan terhadap Iran melebihi bukti untuk dilaksanakan kerana Iran sudah lama memiliki nuclear. Tetapi perkataan paksi kejahatan atau terrorist perlu diterjemah dahulu oleh Amerika sebagai sebagai ‘kepentingan minyak’, ‘bahaya kepada Israel’ dan ‘Muslim Sunnah’ (Iraq dan Taleban). Iran tidak termasuk dalam kategori mangsa selagi tidak menepati tiga perkataan yang tersebut. Iran juga berbeza dengan Iraq malah lebih berjasa kepada U.S dan Barat dalam kejatuhan Iraq dan Taleban Afgnaistan. Data-data media perlu dikaji dari sumber-sumber Iran, Barat dan Arab bagi menjelaskan keadaan sebenar hubungan dan kepetingan masing-masing.


sebuah artikel lama dari penulis.

1 comment: