Thursday, November 17, 2011

Pensyarah Iran ditahan proses syabu

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Seorang pensyarah sebuah universiti di Teheran, Iran dicekup polis kerana menjalankan aktiviti haram memproses syabu di sebuah kondominium yang disewanya berhampiran Hentian Bas Putra di Jalan Tun Ismail di sini baru-baru ini.

Suspek berusia 38 tahun dan masih bujang memasuki Malaysia pada 2006 untuk menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sains Politik di sebuah universiti tempatan di negara ini.

Pensyarah terbabit bagaimanapun tidak sempat bergelar doktor apabila gagal menamatkan pengajian selama lima tahun kerana memutuskan untuk meninggalkan universiti semasa berada di tahun tiga.

Selepas berhenti belajar, lelaki terbabit tidak kembali ke tanah air sebaliknya memilih menjadi penjenayah di negara ini dengan menjalankan kegiatan memproses syabu untuk dijual.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, aktiviti haram pensyarah terbabit akhirnya terbongkar apabila sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman bertindak menyerbu kondominiumnya pada 2 November lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu, polis turut merampas syabu dan bahan-bahan mentah yang digunakan untuk memproses dadah tersebut seperti cecair kimia, alat penapis, dulang dan botol plastik.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya menemui syabu yang siap diproses seberat 1.3 kilogram dan satu kilogram cecair disyaki syabu bernilai kira-kira RM300,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang menyewa sendirian di kondominium terbabit dengan bayaran RM2,000 sebulan semasa disiasat mengaku seorang pensyarah di sebuah universiti di Tehran sebelum melanjutkan pengajian Ph.D dalam bidang sains politik di universiti tempatan di negara ini pada 2006.

Chez Chiang berkata, lelaki terbabit bagaimanapun hanya sempat belajar selama tiga tahun sebelum berhenti pada 2008 dan terus menetap di negara ini menggunakan pas pelajar.

Katanya, di kondominium yang disewa, suspek membina makmal mini untuk memproses cecair kimia atau dikenali sebagai minyak syabu untuk dijadikan bentuk kristal dan sedia untuk diedarkan kepada para penagih.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1116&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment