Tuesday, July 3, 2012

JAKIM Pantau Dakwah syiah

KUALA LUMPUR: Siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati ada pengikut Syiah di negara ini dikesan sedang giat menghasilkan beberapa bahan penerbitan termasuk buku, risalah, kertas kerja dan cakera padat (CD).

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, sehubungan itu pihaknya memantau semua aktiviti membabitkan kira-kira 1,500 pengikut Syiah di negara ini bagi mengelak bahan percetakan itu disebarkan kepada umum.

“Buku dan risalah terbabit antaranya: ‘Meniti Titian Kebenaran: Menyingkap Kebenaran Mazhab Rasul dan Ahlul Bait’, ‘Inilah Al-Khulafa Ar-Rasyidin’, ‘Akhirnya Ku Temui Kebenaran’, ‘Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Yang Sebenar'.

“Turut diterbitkan buku bertajuk ‘Benarkah Salafi Wahabi Pemusnah Islam dan Pembunuh Umatnya’, ‘Kewajipan Setiap Muslim Mentaati Kepimpinan Yang Dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia dan Akhirat’, selain kertas kerja dan CD berkaitan fahaman Syiah,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini pengikut fahaman Syiah, Othman berkata, Jakim bersama pihak berkuasa agama negeri sentiasa memantau pergerakan kumpulan Syiah khususnya pengamal ajaran Syiah membabitkan rakyat negara ini.

“Sebarang usaha mengembangkan ajaran mereka (Syiah) kepada umat Islam di Malaysia sentiasa berjaya dihidu pihak berkuasa dan disekat untuk mengelakkan sebarang implikasi buruk berlaku pada masa akan datang.

“Perkembangan Syiah di negara ini terkawal dan bilangan pengikutnya dianggarkan kira-kira 1,000 hingga 1,500 orang saja,” katanya.

Beliau berkata, biarpun jumlahnya kecil, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan jabatan agama Islam negeri dan agensi lain berkaitan dalam isu penyebaran sebarang bentuk risalah dan bahan penerbitan lain.

“Jakim sentiasa menguar-uarkan strategi penyebaran buku Syiah ini kepada masyarakat akar umbi supaya berhati-hati dan menyerahkan risalah berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kami mengenal pasti beberapa laman web yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini dan kita sudah mendapat kerjasama dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat pengaruh ini,” katanya.

Othman berkata, antara kawalan lain dilakukan Jakim bagi menghalang penyebaran Syiah termasuk menyebarluaskan fatwa yang dibuat mengenai pengharaman Syiah kepada masyarakat.

“Sesi penjelasan kepada masyarakat melalui program ceramah dan penyebaran maklumat pengharaman ini menerusi media cetak dan elektronik, selain program pemantauan dan mengawal bahan-bahan media cetak dan elektronik dari tersebarnya fahaman Syiah menerusi media berkenaan.

“Selain itu, kita juga meningkatkan kerjasama penguatkuasaan antara agensi agama dengan kementerian yang berkaitan dalam menangani dan menyekat fahaman Syiah daripada berleluasa dan tersebar kepada masyarakat,” katanya.

1 comment: