Thursday, October 13, 2011

Syabu RM4 juta dirampas

SHAH ALAM 12 Okt. - Polis menahan lapan warga asing dan seorang warga tempatan serta merampas 16.5 kilogram syabu bernilai RM4.125 juta dalam empat serbuan yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini bermula Khamis hingga Ahad lalu.

Dalam dua daripada serbuan yang dilakukan itu, polis turut membongkar dua taktik terbaru yang digunakan sindiket pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, taktik pertama dibongkar pada pukul 11 malam Khamis lalu, apabila enam warga Iran yang lima daripadanya wanita diberkas selepas pemeriksaan di bagasi mereka menemui 12 botol penyembur rambut berisi 5.37 kilogram syabu.

Beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas semua botol penyembur rambut itu selepas mendapati ia lebih berat daripada penyembur biasa.

"Selepas diperiksa, kita dapati bahagian atas botol terdapat botol kecil yang diisi sedikit dengan losen penyembur dan apabila disembur, losen tersebut keluar seperti biasa. Bagaimanapun, bahagian bawah botol kecil itu disumbat dengan serbuk syabu," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Nordin berkata, kesemua warga Iran itu berusia antara 20 hingga 47 tahun datang ke negara ini sebagai pelancong. Mereka kini direman sehingga 13 Oktober depan bagi membantu siasatan.

Menurut Nordin, taktik kedua pula dibongkar apabila pihaknya menahan seorang perunding emas yang datang menuntut bagasi di bahagian Lost and Found KLIA pada pukul 5.30 petang selepas pemeriksaan polis mendapati terdapat lima kilogram syabu di dalam bagasi itu pada Ahad lalu.

Kata beliau, warga tempatan berusia 29 tahun itu dipercayai diupah sindiket pengedaran dadah yang kini dipercayai menukar taktik iaitu dengan sengaja meninggalkan beg di lapangan terbang dan kemudian mengupah orang lain menuntutnya di bahagian tersebut.

"Kita masih menyiasat kaitan lelaki itu dengan sindiket pengedaran dadah bagi mengenal pasti adakah dia mangsa atau memang terlibat dengan sindiket itu. Dia kini ditahan reman sehingga 16 Oktober depan," jelas beliau.

Tambah Nordin lagi, dua lagi pemeriksaan dibuat pada pukul 11 malam Sabtu dan 2.45 petang Ahad lalu di mana dua lelaki Nigeria ditahan kerana masing-masing membawa 390 gram dan 5.689 kilogram syabu.

Kata beliau, lelaki pertama ditahan selepas polis menemui 390 gram syabu di dalam tangkai besi pemegang begnya manakala lelaki kedua pula ditahan selepas 5.6 kilogram syabu dijumpai dalam bagasinya.

"Kedua-dua suspek yang merupakan ahli perniagaan berusia lingkungan 20-an dan 40-an kini direman masing-masing sehingga Sabtu dan Ahad depan," katanya.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_05.htm&arc=hive

1 comment: