Saturday, August 27, 2011

JAIM pergiat operasi 'bersihkan' masjid jadi sasaran Syiah

MELAKA 26 Ogos - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mempergiatkan operasi 'membersihkan' masjid-masjid di seluruh negeri ini yang dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan penganut fahaman Syiah menyebarkan ajaran itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan terbaru dijalankan di Masjid Paya Redan, di sini kira-kira pukul 4 petang setelah mendapat aduan daripada pihak masjid mengenai kewujudan buku ajaran kumpulan tersebut.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas kira-kira 200 naskhah buku yang mengandungi dua tajuk berlainan berkaitan fahaman Syiah dan mengenai pengaruh ajaran itu dalam kehidupan manusia.

"Kita dimaklumkan buku-buku tersebut telah diletakkan di masjid itu sejak dua minggu lalu tanpa pengetahuan pihak masjid.

"Buku yang dirampas hari ini dilihat sebahagian kecil sahaja memandangkan jumlah sebenarnya dianggarkan sebanyak 2,000 naskhah buku yang mana telah diambil oleh pengunjung masjid sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Antara ajaran kumpulan itu adalah menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa walaupun bukan dalam keadaan darurat.

Pengikut ajaran tersebut juga menyanjung Ahlul Bait iaitu ahli keluarga Nabi Muhammad SAW secara keterlaluan dengan menganggap golongan itu maksum atau bebas daripada dosa serta anti para sahabat kecuali Saidina Ali.

Kata Rahimin, setakat ini, pihaknya telah mengadakan serbuan di 10 masjid berikutan aduan yang diterima daripada pihak masjid berhubung buku fahaman Syiah yang disimpan dalam masjid.

Ujarnya, kumpulan tersebut menggunakan dua taktik bagi menyebarkan ajaran itu sama ada secara terbuka atau berselindung daripada pengetahuan masyarakat.

"Sebelum ini, kita pernah kesan taktik kumpulan ini yang mengedarkan buku dan risalah fahaman Syiah kepada pengunjung masjid.

"Bagaimanapun, sekarang, mereka meletakkan secara sembunyi buku dan risalah kumpulan ini di dalam masjid bagi membolehkan pengunjung mendapatkannya dan mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sehubungan itu, Rahimin meminta kerjasama orang ramai khususnya mereka yang menyimpan buku atau risalah mengenai fahaman ini agar menyerahkannya kepada JAIM bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0827&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment